suria

Kontraktor Melecur, Kompresor Penyaman Udara Terbakar

NILAI: Seorang kontraktor melecur di badan dan tangan apabila kompresor penyaman udara yang sedang diselenggaranya meletup sebelum terbakar di sebuah kilang di sini, dalam insiden pada kira-kira 10 pagi Sabtu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai N. Krishnan berkata tiga jentera bersama-sama 10 anggota berjaya mengawal api daripada merebak dan memadamkannya sebelum melakukan penyejukan pada kompresor itu dalam tempoh 1 jam 30 minit.

"Semasa pihak bomba sampai ke lokasi, beberapa pekerja kilang itu sedang berusaha melakukan pemadaman menggunakan alat pemadam api," katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata kompresor penyaman udara tersebut terbakar 100 peratus.

Katanya dua kontraktor dilantik kilang itu untuk melakukan penyelenggaraan, bagaimanapun seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Krishnan berkata punca kejadian masih dalam siasatan. - BERNAMA

kontraktor, penyaman udara, terbakar

Artikel Lain