suria

Putrajaya Bangkit Isu Rohingya Pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean

Anifah Aman.

PETALING JAYA: Kementerian Luar merancang untuk membincangkan situasi masyarakat Rohingya di wilayah Utara Rakhine pada sesi pemukiman menteri-menteri luar Asean di Yangon, Myanmar pada 19 Disember ini.

Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata sesi pemukiman itu akan memberi peluang kepada rakan sejawatannya dalam Asean untuk bertukar pandangan dan berbincang usaha untuk mencari jalan penyelesaian yang adil, cepat dan kukuh dalam menangani masalah yang dihadapi di wilayah tersebut.

"Aung San Suu Kyi telah berjanji akan memaklumkan kepada menteri-menteri luar Asean mengenai perkembangan terkini situasi di Wilayah Utara Rakhine semasa sesi pemukiman tersebut," katanya.

Beliau berkata Malaysia mendesak perbincangan sebegini diadakan sejak beberapa minggu lalu bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi dan mencari jalan penyelesaiannya.

"Walaupun ini hanyalah langkah yang pertama dalam menyelesaikan masalah ini, ia merupakan suatu langkah yang positif dan tepat," katanya.

Anifah berkata keadaan yang membimbangkan dan situasi kemanusiaan yang meruncing di wilayah tersebut dan juga implikasi krisis ini kepada negara-negara jiran Asean, membuatkan perkara ini perlu dibincangkan.

Beliau berkata, Myanmar pada mulanya telah menolak permintaan Malaysia tetapi disebabkan tekanan daripada masyarakat antarabangsa, mesyuarat itu akhirnya dapat direalisasikan.

"Mesyuarat ini akan memberi peluang kepada saya untuk menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai situasi ini.

"Saya amat berharap dapat menggunakan peluang ini sepenuhnya untuk menekankan bahawa Malaysia sentiasa mengecam keganasan yang berterusan di Wilayah Utara Rakhine semenjak kejadian pada 9 Oktober lalu," katanya.

Jelas beliau, kehilangan nyawa dan penghapusan penduduk di kawasan tersebut tidak boleh diterima.

Katanya, Malaysia akan terus bertegas agar semua pihak terlibat dapat mengelak daripada mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Anifah berkata sebagai salah sebuah negara pengasas Asean, Malaysia menyedari sepenuhnya akan prinsip-prinsip asasnya, khususnya prinsip tidak campur tangan antara negara anggota Asean. 


isu Rohingya, Anifah Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain