suria

Pemandu Bas Kilang Cedera Parah Ditetak Lima Lelaki

BATU KAWAN: Seorang pemandu bas kilang cedera parah selepas diserang serta ditetak lima lelaki berhampiran susur keluar tol Lebuhraya Utara Selatan di Bukit Tambun di sini, Sabtu.

Dalam kejadian 6.30 petang iru, Musa Chotah, 52, yang sedang memandu bas kilang berkenaan menghentikan kenderaannya apabila dihalang oleh sebuah kereta dinaiki sekumpulan lima lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafee Abdul Samad berkatasemasa kejadian mangsa membawa sekumpulan pekerja kilang.

"Ketika hampir sampai susur keluar tol Bukit Tambun, kereta jenis Toyota Vios warna putih dinaiki lima lelaki itu dipercayai telah menghalang bas sebelum mangsa turun dari bas.

"Berlaku pertengkaran antara mangsa dan lima lelaki itu sebelum pemandu bas berkenaan ditikam dan ditetak beberapa kali dengan pisau," katanya di sini.

Shafee berkata selepas ditikam mangsa kembali ke dalam bas kilang itu manakala lima lelaki tersebut melarikan diri dengan kereta dan keluar menerusi tol Bukit Tambun.

Katanya ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah iaitu luka akibat ditetak di tepi kepala, lengan sebelah kanan, luka atas kening dan perut sebelah kiri.

Pemandu bas itu dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk pembedahan dan dia dilaporkan dalam keadaan kritikal, katanya.

"Kejadian itu berjaya dirakamkan beberapa pekerja kilang yang berada dalam bas dipandu mangsa dan polis kini sedang mengesan lima lelaki dipercayai berusia lingkungan 20-an yang menaiki kereta dengan nombor pendaftaran PJH 8586 tersebut," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini motif kejadian masih belum dapat dikenalpasti kerana mangsa belum dapat bercakap.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.-Bernama

Pemandu bas ditetak

Artikel Lain