suria

Cukup Asas Siasat Tiga Bekas Menteri - KPN

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya mempunyai asas yang cukup untuk menyiasat tiga bekas menteri di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan.

Beliau berkata, kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam siasatan dan mendedahkan beberapa perkara yang membabitkan dakwaan salah laku terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diklasifikasikan sebagai Akta Hasutan.

"Ada cukup alasan bagi kita siasat apa yang mereka telah katakan di Parlimen kerana Akta Hasutan tidak memberikan mereka imuniti untuk membuat apa sahaja kenyataan walaupun di Parlimen.

"Apa yang dikatakan oleh beberapa Ahli Parlimen termasuk Gobind Singh (Puchong) bahawa kita tak ada asas untuk menyiasat adalah tidak betul," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-kanak (NUR Alert) menerusi Facebook di Bukit Aman di sini, Jumaat.

Sehubungan itu, Khalid berkata, polis akan meneruskan siasatan membabitkan ketiga-tiga bekas menteri itu dan akan memanggil mereka untuk memberikan keterangan dalam waktu terdekat.

"Beberapa aturan telah dibuat. Saya harap mereka dapat memberi kerjasama," katanya.

Rabu lalu, beberapa ahli Parlimen termasuk Gobind mempersoalkan siasatan polis terhadap tiga bekas menteri yang membangkitkan perkara berkaitan 1MDB, dengan mengatakan terdapat imuniti bagi ahli Parlimen untuk bercakap di Dewan Rakyat.

Tiga bekas menteri berkenaan adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain