suria

Kekurangan Minyak Masak Paket 1KG Selesai Seminggu Lagi - KPDNKK

KUALA LANGAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjangkakan masalah kekurangan minyak masak paket bersaiz 1kg di beberapa tempat, dapat diatasi secara berperingkat dalam tempoh seminggu lagi. 

Ketua Penolong Pengarah Unit Antipencatutan kementerian, Low Swee Hon berkata pihaknya yakin kekurangan bekalan minyak itu hanya sementara berikutan wujudnya situasi pembelian panik dalam kalangan pengguna.

"Sejak awal minggu ini KPDNKK menerima aduan daripada orang ramai mengenai kekurangan bekalan minyak masak paket 1kg di beberapa tempat di seluruh negara.

"Siasatan awal menunjukkan keadaan ini berlaku disebabkan pembelian panik dalam kalangan pengguna yang membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak,"katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke kilang Penapisan Minyak Masak Sime Darby di sini, Khamis.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) Iskandar Ismail.

Berikutan itu, Low menasihatkan pengguna supaya jangan panik dan tidak membeli minyak masak dalam kuantiti yang banyak sehingga menyebabkan bekalan minyak bersubsidi itu berkurangan di pasaran.

Beliau berkata pihaknya akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam penjualan minyak masak tersebut.

"Bagi menyelesaikan masalah itu, kita minta pembeli mengehadkan pembelian minyak masak 1kg iaitu dua paket untuk setiap pembelian. 

"Pengguna juga tidak perlu bimbang kerana harga minyak masak paket 1kg masih kekal pada harga RM2.50, cuma minyak dalam botol sahaja mengikut harga pasaran,"katanya.

Mengulas mengenai pemeriksaan yang dilakukan ke atas pengilang, Low berkata buat masa ini pihaknya tidak menemui sebarang kesalahan menahan atau menyorok bekalan.

Beliau berkata pengilang seperti Sime Darby, contohnya, tetap meneruskan operasi dan mencuba sebaiknya untuk mengagihkan bekalan minyak mengikut kuota yang ditetapkan kerajaan.

"KPDNKK berharap pengguna boleh beri masa kepada pengilang atau pengeluar minyak ini untuk memenuhi permintaan atau memenuhi stok bekalan minyak ini dalam tempoh seminggu lagi," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini mengumumkan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak, di mana minyak masak paket 1kg kekal berharga RM2.50 manakala minyak masak dalam botol dijual mengikut harga pasaran mulai 1 November.  

Hamzah dilaporkan berkata penstrukturan semula dilakukan berikutan kenaikan harga minyak sawit daripada RM2,300 satu tan pada Januari tahun lepas kepada hampir RM3,000 satu tan sehingga September lalu, menyebabkan kerajaan menanggung subsidi yang tinggi. 

Tanpa penstrukturan semula harga minyak masak itu, kerajaan terpaksa menambah perbelanjaan hampir RM100 juta sebulan untuk menanggung subsidi minyak masak bagi November dan Disember berikutan kenaikan harga minyak sawit yang diproses.-Bernama

Minyak masak, paket, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain