suria

Tiga Lagi Lebuh Raya Guna Kutipan Tol Elektronik Sepenuhnya Tahun Depan

PETALING JAYA: Tiga lagi lebuh raya akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya pada tahun depan.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsensi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Sazally Saidi berkata, jumlah itu menjadikan 31 lebuh raya akan menggunakan sistem berkenaan sepenuhnya.

Katanya, tiga lebuh raya itu adalah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Juru-Skudai, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

"Pada tahun ini, sebanyak 28 lebuh raya melaksanakan ETC sepenuhnya membabitkan 78 plaza.

"Sebanyak 99 plaza tol lagi pada 2017, menjadikan kesemuanya 177 plaza tol beroperasi ETC sepenuhnya," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Kompleks Operasi Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) di sini, Rabu.

Pada sidang media berkenaan, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak turut memaklumkan mengenai ETC akan dilaksanakan sepenuhnya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Senai Desaru (SDE) bermula 9 November ini.

"Ia melibatkan empat plaza tol di LDP - Plaza Tol Penchala, Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Plaza Tol Puchong Barat dan Plaza Tol Puchong Selatan.

"Empat lagi plaza tol di SDE yang melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik iaitu Plaza Tol Senai, Plaza Tol Ulu Tiram, Plaza Tol Cahaya Baru dan Plaza Tol Penawar," ujar Sazally.
ETC, tol, Sazally Saidi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Beruang Matahari Mengamuk

Artikel Lain