suria

Kemalangan Maut Di Sabah Ragut 8 Nyawa

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut di Jalan Kampung Pandasan di Kota Belud pada 21 Oktober 2016.

KOTA KINABALU: Anggota polis antara lapan individu yang maut dalam dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kota Belud-Kota Kinabalu, dekat sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah berkata mangsa Herlin Naxe Jeffery, 26, anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dan abangnya Frenwell Jeffery, 31, serta seorang lagi mangsa Ellyzek Johnny, 28, maut dilokasi kejadian apabila kereta Proton Gen 2 dinaiki mereka terbabit dalam nahas itu.

Katanya, mangsa lain yang maut ialah penumpang dalam sebuah lagi kereta Proton Saga iaitu Hamirah Mohamad Salleh, 39, Aidil Abd Jumat, 8, Vera Adira Jalius, 6, Nur Syikah Abd Jumat, 3, dan Neta Ramlan, 37.

Dua daripada mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital.

"Siasatan awal mendapati kenderaan Proton Gen 2 yang dinaiki mangsa dari arah Kota Belud menuju ke Kota Marudu dan ketika sampai di lokasi kejadian kereta berkenaan telah bertembung dengan kereta Proton Saga dari arah bertentangan.

Pada masa yang sama dua kenderaan iaitu Perodua Kancil dan Toyota Hilux dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud cuba mengelak daripada kemalangan itu terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan dan (penumpang dan pemandu) hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 5.59 pagi. - BERNAMA

Artikel Lain