suria

Sultan Selangor Berkenan Sumbang RM400,000 Kepada Persatuan Kanak-Kanak Spastik

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat kanak-kanak spastik di Petaling Jaya pada Selasa.

PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan RM400,000 bagi membangunkan semula bangunan Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan (SCAS&FT) di sini pada Selasa.

Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ketibaan pasangan diraja diraikan dengan beberapa persembahan muzikal oleh anak-anak istimewa dari pusat ini termasuklah nyanyian solo, tarian dan persembahan perkusi.

Pada majlis tersebut, sejumlah RM1.75 juta sumbangan berjaya dikumpul daripada penderma pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan Bangunan Sultan Idris Shah yang tertangguh pembinaannya kerana masalah dana.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin melawat kanak-kanak spastik pada Selasa.

Menurut Presiden SCAS&FT, Datuk Seri Dr. Lam Peng Chong, dana keseluruhan yang diperlukan adalah sebanyak RM 30 juta bagi memulakan pembinaan bangunan tersebut.

"Setakat ini kami sudah menerima RM20 juta termasuk sumbangan yang diberikan tadi. Pembinaan ini akan bermula dalam masa tiga tahun sekiranya sumbangan yang diberikan mencukupi," jelasnya.

Bangunan Sultan Idris Shah yang bakal disambung pembinaanya mengandungi 12 tingkat dan mampu menampung hampir 500 pelajar.

SCAS&FT ditubuhkan pada 1960 dan menjadi salah sebuah daripada tiga pusat bimbingan dan pemulihan kanak-kanak spastik di negara  ini.

Pusat sehenti ini juga memberikan perkhidmatan secara percuma kepada ibu bapa anak-anak spastik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain