suria

Kadar Inflasi 2 Peratus - Johari

ohari Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR: Kadar inflasi negara kini dianggarkan dua peratus, selepas kira-kira 18 bulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ketika GST pertama kali diperkenalkan pada 2015, kadar inflasi adalah 3.435 peratus.

"Bagaimanapun, hari ini kita melihat kadar inflasi mencecah ke lingkungan yang normal iaitu kira-kira dua peratus," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Abdul Hadi bertanyakan sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan alternatif kepada GST, dengan mendakwa bahawa cukai telah mengakibatkan peningkatan kadar inflasi.

Johari berkata, beliau bersetuju dengan Abdul Hadi bahawa terdapat peningkatan harga barangan apabila GST pertama kali diperkenalkan.

"Kebanyakan peniaga yang tidak membayar SST akan merasakan margin keuntungan mereka menyusut selepas adanya GST.

"Oleh itu, mereka menaikkan harga barangan dengan mengambil kira GST," katanya sambil menambah bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membuat pemantauan terhadap peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.


GST

Artikel Lain