suria

Barangan Seludup Bernilai RM1.5 Juta Dirampas

Datuk Subromaniam Tholasy
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sabah merampas pelbagai jenis barangan bernilai kira-kira RM1.5 juta yang cuba diseludup ke Sabah melalui Pelabuhan Sepanggar dekat sini, dalam operasi sejak tiga minggu lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Subromaniam Tholasy berkata pelbagai barangan termasuk minuman keras, beras dan tayar itu dirampas dalam 32 buah kontena yang diperiksa di pelabuhan berkenaan.

Katanya, semua barangan itu melibatkan cukai yang dianggarkan bernilai  RM4.5 juta, yang merupakan rampasan terbesar Kastam Sabah setakat ini.

"Bagaimanapun setakat ini masih tiada tangkapan dilakukan. Pihak kami masih  melakukan siasatan lanjut kerana penghantaran barangan itu menggunakan permit daripada sebuah syarikat yang biasa melakukan urusan mengimport.

"Modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran yang tidak benar ke atas barangan yang memerlukan lesen import. Contohnya bir dan beras yang memerlukan lesen import telah diikrar sebagai perabot dan pelbagai lagi peralatan lain termasuk peralatan sukan," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pelbagai barangan berkenaan adalah dari Thailand, Vietnam dan Singapura.

Subromaniam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kali pertama, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, beliau berkata kejayaan rampasan itu adalah hasil daripada kerjasama kastam dengan pelbagai agensi lain termasuk pihak pelabuhan.

"Pelbagai agensi kawalan sempadan akan terus bekerjasama antara satu sama lain untuk memantapkan lagi sistem kawalan negara," katanya.

Sehubungan itu, Subromaniam meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pihak yang menyimpan, memiliki dan mengangkut barang yang tidak mempunyai kelulusan kastam agar segera membuat laporan kepada kastam melalui talian 1-800-88-8855.

Artikel Lain