suria

Norashikin Dikenali Dengan Sifat Ramah, Rendah Diri

Norashikin Abdul Rahman
PETALING JAYA: Personaliti televisyen, Norashikin Abdul Rahman yang diijabkabul dengan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terkenal dengan sifat ramah dan rendah diri.

Rakan-rakannya medianya amat gembira dengan berita pernikahan pasangan diraja ini dan mendoakan agar mereka sentiasa bahagia.

Bekas rakan sekerja, Mohd Ishahrulddin Md Tahir, 30, berkata beliau mengenali Norashikin sejak 2009, ketika menjadi pelatih di RTM.

"Saya melihat Norashikin membaca berita di televisyen sejak saya masih muda. Apabila bertemu dengannya buat kali pertama, saya terkejut kerana beliau begitu mesra walaupun berpangkat senior," katanya ketika dihubungi, Jumaat.


Ishahrulddin berkata Norashikin sangat profesional di tempat kerja dan akan berkongsi maklumat dengan semua kakitangan, termasuklah pekerja bawahan.

"Beliau banyak mengajar saya semasa saya berada di RTM. Saya amat gembira dengan perkhabaran ini dan mendoakan yang terbaik untuknya," katanya.

Ishahrulddin berkata walaupun bertubuh kecil, Norashikin sangat cergas dan gemar mendaki, dengan yang terkini menawan Gunung Bromo di  Jawa Timur, Indonesia.

"Jika kita melihatnya, mungkin ramai yang tak tahu bahawa beliau sangat meminati bidang sukan dan baru-baru ini kami pergi mendaki Gunung Bromo bersama-sama," katanya.

Seorang editor kanan di RTM, yang enggan namanya disiarkan, berkata beliau baharu sahaja bertemu Norashikin bulan lalu di studio.

"Beliau seorang yang lemah lembut. Pasukan kami tahu bahawa beliau adalah seorang yang mesra dan senang bergaul dengan semua orang.

"Ramai yang sedar bahawa beliau mempunyai senyuman yang manis," kata beliau.

Seorang lagi rakan sekerja yang tidak mahu dikenali berkata banyak yang telah dipelajari daripada Norashikin.

"Perkataan pertama yang terlintas di fikiran tentang beliau adalah sikap suka membantu. Jika anda perlukan sebarang bantuan, anda boleh mendekatinya.

"Beliau akan membimbing dan mengajar anda. Saya akan sentiasa mengingatinya," katanya.

Artikel Lain