suria

Vaksin Ikhtiar Yang Dituntut Islam - Mufti Perlis

KANGAR: Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata suntikan vaksin adalah ikhtiar untuk menyelamat nyawa anak yang dituntut oleh Islam.

Justeru, katanya seseorang isteri boleh membantah suaminya yang enggan anak mereka diberi suntikan vaksin demi untuk kebaikan zuriat mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Bual Bicara Imunisasi bertajuk 'Merungkai Kemusykilan Imunisasi' anjuran Pejabat Kesihatan Negeri Perlis di Dewan Warisan di sini, Sabtu.

Mohd Asri berkata pemerintah juga berhak memaksa ibu bapa supaya anak-anak mereka diberikan suntikan vaksin sekiranya kedua-dua mereka menolak perbuatan tersebut.

Katanya mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis bulan hadapan antaranya akan membincangkan fatwa isu tersebut untuk diterima pakai oleh umat Islam di negeri ini.

Seorang lagi ahli panel program itu yang juga pakar perunding pediatrik Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan, Prof Dr Zabidi Azhar Mohd Hussin pula berkata vaksinasi amat penting kepada bayi.

Katanya vaksinasi ialah proses memberi vaksin kepada bayi bertujuan mencegah penyakit-penyakit berjangkit yang boleh diberi secara suntikan atau melalui mulut.

"Kebiasaanya kesan sampingan vaksin adalah ringan dan tidak membahayakan.

Oleh itu ibu bapa tidak perlu bimbang untuk anak-anak mereka menerima suntikan vaksin," katanya.

Artikel Lain