suria

Veteran Umno Sokong Gesaan Pantau Ajaran Ibnu Taimiyyah

KUALA LUMPUR: Veteran Umno menyokong sepenuhnya langkah Bukit Aman mendedahkan ajaran berpengaruh ulama kontroversi Turki, Ibnu Taimiyyah yang mempunyai hubung kait dengan Negara Islam (IS).

Setiausaha Kelab Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, DCP Datuk Ayob Khan Mydin Pichay bertindak wajar dengan pendedahan berkenaan.

"Kami yakin bahawa beliau (Ayob) mempunyai alasan kukuh untuk mengaitkan kumpulan pengganas itu dengan ajaran Ibnu Taimiyyah ini.

"Sebagai seorang pegawai polis yang bertanggungjawab memerangi keganasan, kami percaya beliau (Ayob) mengambil tindakan berkenaan tanpa niat untuk merendahkan sesiapa," kata Mustapha dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata pendedahan Ayob harus diedarkan kepada semua majlis agama di seluruh negara supaya ajaran Ibnu Taimiyyah boleh disemak dan diperiksa.

"Kami juga menyeru setiap pihak atau individu tidak mempolitikkan perkara itu.

"Ini adalah perkara keselamatan negara dan ancaman IS. Kita tidak boleh terlalu terpesona dengan Ibnu Taimiyyah hingga membiarkan penyebaran fahaman IS berleluasa di negara ini," katanya.

Sebelum ini Ayob menggesa supaya Jabatan Agama Islam negeri-negeri memantau ahli akademik dan agamawan yang kerap menggunakan petikan atau fatwa daripada Ibnu Taimiyyah dalam hujah mereka berikutan adanya fatwa bahawa IS menyelewangkan fakta ulama itu untuk kepentingan militan mereka.

Katanya, kumpulan militan itu menggunakan fatwa ulama berkenaan untuk menjustifikasi tindakan ganas mereka.

Beliau menjelaskan ada di antara fatwa itu digunakan Daesh dengan melabelkan aliran Asha'irah yang dipegang majoriti umat Islam negara ini sebagai sesat, syirik dan kafir, sekali gus menghalalkan tindakan mereka untuk membunuh rakyat Malaysia.

Artikel Lain