suria

PM Minta Rakyat Pastikan Tiada Penjajahan Moden Di Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak
MELAKA: Rakyat perlu memastikan tiada penjajahan moden berlaku di Malaysia kerana mereka berperanan dalam menentukan hala tuju dan menjaga kedaulatan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sekiranya negara dijajah dalam bentuk moden, segala martabat, maruah serta kedaulatan negara akan hilang dan tidak boleh diperoleh kembali.

"(Dalam) sejarah (Melaka), Bendahara Tun Perak setia kepada empat raja.Melaka terkenal sebagai Venice of the East (Venice di Timur) kerana kesetiaan tetapi bila percaya kepada hasutan, bagi maklumat kepada Portugis, hancur Melaka...ini pengajaran dari sejarah kita.

"(Oleh itu), jaga kedaulatan, ini kedulatan negara kita, itu adalah hak kita. Kepimpinan negara, kita yang tentukan bukan orang lain yang tentukan," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tangga Batu di Bandar Hilir di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Anggota Dewan Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Katil.

Untuk mengelak daripada mengulangi kesalahan sama, Najib yang juga Presiden Umno menekankan pentingnya kesetiaan sebagai tunggak kepada perjuangan untuk menjaga negara dan membela rakyat.

"Dalam politik, saya amat menghormati Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba yang amat setia dengan perjuangan parti Umno. Bagi beliau, jawatan tidak penting...
yang penting adalah perjuangan. Kalau parti selamat, kita semua selamat.

"Suatu hari nanti, saya akan serah (Umno) kepada pengganti saya. Masa itu, kalau hendak datang kepada saya atau tidak, itu tidak mengapa. Tetapi, saya pantang mengkhianati Umno. Kita mahu serah sebuah parti yang kuat," katanya.

Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, beliau menjelaskan bahawa semua keputusan untuk Umno dan negara dibuat secara bersama atau syura.
Najib juga berkata sebagai pemimpin yang dipilih melalui sistem paling demokrasi dalam Umno, beliau tidak mengamalkan sikap diktator yang tidak membawa kebaikan kepada parti dan rakyat.

Artikel Lain