suria

Ribuan Umat Islam Banjiri Arab Saudi Di Bulan Ramadan

Ribuan umat Islam membanjiri kota suci Madinah dan Makkah untuk mengerjakan ibadat termasuk umrah pada bulan Ramadan.

MADINAH: Ribuan umat Islam dari seluruh dunia termasuk Malaysia, kini berada di Arab Saudi bagi merebut peluang beribadah pada bulan Ramadan.

Ibarat lautan manusia, mereka memenuhi segenap ruang di Masjid Nabawi di sini dan juga Masjidil Haram di Makkah untuk menunaikan ibadah termasuk melakukan umrah atau ziarah di rumah Allah.

Dalam keadaan berpuasa selama lebih 13 jam, umat Islam selain menunaikan ibadat wajib, mereka juga menjalankan pelbagai ibadah lain termasuk membaca al-Quran dan melawat tempat bersejarah. 

Pesara kerajaan, Mohd Hatta Jaafar, 59, mengambil peluang Ramadan ini untuk beribadah dan memperbaiki dirinya. 

"Saya dan kakak saya ambil peluang ini untuk beribadah dan mengerjakan umrah," kata bapa kepada dua anak lelaki itu kepada Bernama, di sini, Khamis.

Berasal dari Kuantan, Pahang, Mohd Hatta berhasrat untuk memenuhi aktiviti harian di tanah suci dengan beribadah bagi mencari keredaan Ilahi.

Berterima kasih kepada Tabung Haji Travel and Services, yang menawarkan pakej umrah pada bulan Ramadan, beliau berkata, ibadah dapat dilakukan dengan selesa kerana pihak pengurusan menyediakan tempat penginapan yang dekat dengan masjid iaitu kira-kira 50 meter dari Masjid Nabawi.

"Saya suka dengan Tabung Haji, ia selesa untuk saya dan kakak saya menunaikan ibadah dengan bayaran RM15,000 seorang," katanya. 

Sebahagian jemaah yang menunggu masa untuk berbuka puasa di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah.

Pembimbing Ibadah Haji daripada Tabung Haji Travel and Services, Abu Hassan Wahab berkata, kebiasaannya orang ramai datang ke Arab Saudi pada bulan Ramadan untuk merebut pahala yang tinggi. 

"Kemeriahan jemaah berbuka puasa dan beribadah adalah tinggi. Di Madinah suasananya pada musim Ramadan lebih meriah berbanding di Makkah," katanya. 

Laporan agensi berita pada 28 April lalu memetik kerajaan Arab Saudi,  sebanyak 4.65 juta visa umrah dikeluarkan sejak November lalu.

Agensi itu memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Haji dan Umrah Saudi Abdullah Al-Qadi bahawa jumlah jemaah umrah dijangka meningkat pada Mei, Jun dan Julai. -- Bernama


Arab Saudi, umrah, al-Quran, Masjid Nabawi

Artikel Lain