suria

Sarawak Terus Sokong Kepimpinan Najib - Adenan

Najib menerima cenderahati daripada ketua-ketua kaum pada majlis bersama rakyat di Eastwood Valley dalam rangka lawatan beliau tiga hari ke Sarawak bermula Jumaat. -fotoBERNAMA

MIRI: Sarawak akan terus teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Ini kerana perdana menteri telah menunjukkan keikhlasan dan komitmennya untuk membantu negeri ini mengejar pembangunan dan kemajuan sebagaimana dinikmati negeri lain di dalam negara ini.

Najib juga amat memahami dan berfikiran terbuka apabila kepimpinan negeri membangkitkan isu seperti penurunan lebih kuasa kepada kerajaan negeri dan memulihkan hak-hak lain yang diberikan kepada Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 apabila ia menyertai pembentukan Malaysia.

"Beliau tidak marah tetapi akan berkata kita boleh berbincang dan berunding," beliau berkata pada majlis makan malam dan sesi ramah mesra bersama rakyat di Kelab Golf  and  Country Eastwood Valley yang dihadiri Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, di sini malam Jumaat.

Adenan berkata biarpun Najib berhadapan dengan masalah di Semenanjung, Sarawak tetap menyokong beliau.

"Pendek kata, Najib memahami Sarawak dengan baik terutama kemahuannya untuk mengejar negeri-negeri yang lebih maju. Beliau sudah 49 kali melawat negeri ini hampir kesemua ceruk dan rantau," katanya.

Beliau berkata apa yang menarik tentang lawatan dan tinjauan mesra Najib, ialah beliau tidak datang dengan tangan kosong atau hanya menguntumkan senyuman.

"Tinjauan mesranya telah menghasilkan tidak kurang RM3 bilion dalam bentuk geran pembangunan yang diagihkan biarpun dalam keadaan ekonomi negara yang tidak  begitu baik ekoran kejatuhan harga minyak dunia," kata beliau.

"Daripada enam perdana menteri yang kita ada, beliau adalah yang paling penyayang dan prihatin terhadap Sarawak," kata Adenan. -BERNAMA

Artikel Lain