suria

Jabatan Kastam Tumpu Penambaikan Pelaksanaan GST

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan menumpukan kepada penambahbaikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), termasuk menyegerakan pembayaran balik kredit cukai input (ITC) kepada peniaga atau pendaftar GST.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata bagaimanapun, usaha itu memerlukan kerjasama yang lebih baik antara JKDM dan peniaga bagi memudahkan pembayaran balik ITC.

"Antara punca kelewatan pembayaran balik cukai itu ialah kita gagal menghubungi peniaga walaupun telah cuba menghubungi mereka melalui telefon, e-mel dan surat.

"Walaupun kelewatan ini pada sekitar 100 hingga 200 kes sahaja tetapi Jabatan Kastam akan memastikan pembayaran balik ini dapat diselesaikan dengan segera bagi melancarkan dan meningkatkan keberkesanan sistem ini kepada semua pihak," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Pembantu Penguasa Kastam Gred W17 Siri 1/2016 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal) di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman dan GST) JKDM Datuk Subromaniam Tholasy dan Pengarah Akmal, Azimah Abd Hamid.

Khazali berkata anggota JKDM akan mengambil pendekatan turun padang untuk menjejaki peniaga yang gagal dihubungi selain memastikan semua pendaftar di bawah sistem itu wujud dan mereka menjalankan perniagaan seperti yang didaftarkan.

Katanya pihaknya juga akan memastikan tahap pematuhan peniaga bagi penyerahan penyata taksiran pertama (penyata GST-03) dapat dicapai seratus peratus.

"Setakat ini, tahap pematuhan tersebut mencapai lebih 95 peratus dan ini satu petunjuk yang baik berbanding ketika pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)," katanya.

Beliau berkata peniaga yang gagal mengemukakan penyata tersebut akan dikenal pasti bagi mengetahui punca kegagalan mereka berbuat demikian dan membantu mereka menyelesaikan masalah itu.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil pelantikan kepada 255 orang Pembantu Penguasa Kastam Gred W17 yang selesai menjalani Kursus Asas Perkastaman selama dua bulan di Akmal.

Mereka akan ditempatkan di JKDM Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Artikel Berikut

Artikel Lain