suria

JPJ Tunggu Keputusan Kerajaan Mengenai Uber, Grabcar

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menunggu pengumuman kerajaan berhubung perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar sebelum mengambil sebarang tindakan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad.

Beliau berkata setakat ini belum ada pemandu kereta Uber dan GrabCar yang dikenakan tindakan memandangkan kerajaan masih mengkaji perkhidmatan berkenaan.

"Jadi kena tunggu polisi kerajaan (mengenai Uber dan GrabCar). Kalau perkhidmatan itu dibenarkan, apa kaedahnya," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkhidmatan Uber dan GrabCar selepas sambutan Hari JPJ ke-70 di sini, Jumaat.

Selasa lepas, kira-kira 300 pemandu teksi meletakkan teksi di bahu jalan sehingga menghalang lalu lintas di sekitar kawasan Bukit Bintang sebagai bantahan terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui blog NajibRazak.com semalam (Khamis) berkata satu penyelesaian yang adil dan saksama akan diputuskan dalam masa terdekat berhubung isu teksi demi kepentingan pengguna dan penyedia perkhidmatan itu.

Kepentingan kedua-dua pihak itu tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan ketika rangka penyelesaian dibincang dan disediakan, kata Perdana Menteri lagi.

Mengenai sambutan ulang tahun ke-70 JPJ hari ini, Ismail berkata majlis  sambutan Hari JPJ Ke-70 Peringkat Kebangsaan akan diadakan secara besar-besaran di tempat letak kereta Istana Kehakiman di sini, pada 10 April.

Antara aktiviti yang dirancang ialah pengurangan kompaun saman sehingga 50 peratus, perkhidmatan kaunter 1JPJ, perbarisan kontinjen dan demonstrasi pasukan  tindakan khas.

Pada majlis hari ini, Ismail melancarkan buku Panduan Pengubahsuaian dan Tip Penjagaan Kenderaan yang akan dijual di kedai koperasi kakitangan JPJ seluruh negara menjelang bulan depan.

Harga buku tersebut akan ditentukan kemudian.

JPJ, Uber

Artikel Berikut

Artikel Lain