suria

1MDB: SPRM Tidak Pernah Minta Nasihat Kevin Morais Mengenai Siasatan

Abu Kassim Mohamed.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah mendapatkan nasihat mendiang Datuk Anthony Kevin Morais berhubung siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, Morais dipindahkan daripada SPRM pada Julai 2014, setahun sebelum siasatan 1MDB bermula dan tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat khas pasukan petugas yang dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

"Oleh itu, Kevin (Morais) tidak boleh dan tidak terlibat dalam menyediakan sebarang kertas pertuduhan berkaitan dengan 1MDB atau perdana menteri.

"Sebarang kenyataan yang bercanggah adalah palsu sama sekali," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Abu Kassim berkata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi dan Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki telah mengesahkan kepada umum masing-masing pada September dan Disember tahun lepas bahawa Morais tidak pernah terlibat dalam siasatan berkaitan 1MDB atau perdana menteri.

"Kematian Kevin (Morais) adalah tragedi. Beliau harus dibenarkan untuk bersemadi dengan tenang dan tidak digunakan seperti bola sepak politik," katanya. - Bernama

Kevin Morais, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain