suria

Lebih 7,000 Remaja Ditahan Akibat Dadah

KUALA LUMPUR: Seramai 7,412 remaja yang ditahan pada tahun lalu kerana terlibat dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, dan daripada jumlah itu, 89 orang baru berusia 13 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, ia hanyalah sebahagian kecil daripada bilangan mereka.

"Lebih banyak kes yang tidak direkodkan," katanya.

"Empat peratus daripada mereka yang ditahan masih bersekolah pada 2014, manakala lima peratus pada tahun lalu."

Mohd Mokhtar berkata, pengaruh rakan sebaya, pendedahan, kurang bimbingan ibu bapa merupakan antara punca segelintir remaja terlibat dengan aktiviti dadah pada usia muda.

"Kebanyakan mereka terlibat dadah kerana keseronokan, gaya hidup atau ketika mereka tertekan," katanya.

"Tangkapan tertinggi di kalangan remaja di bawah usia 18 tahun sejak beberapa tahun lalu ialah pada 2013 dan 2014. Kita menahan 8,376 remaja pada 2013 manakala 7,915 ditahan pada tahun berikutnya.

"Walaupun terdapat penurunan sebanyak 2.8 peratus, perkara itu masih membimbangkan," katanya.

Mohd Mokhtar yang menyifatkan ia sebagai isu serius berkata, statistik menunjukkan trend yang menurun dengan jumlah kes pada tahun lepas menurun sebanyak 580 kes.

Bagaimanapun, bilangan remaja berusia 13 tahun yang ditahan akibat kesalahan berkaitan dadah meningkat dari 76 kepada 89 kes.

"Langkah-langkah proaktif perlu dilakukan bagi menangani masalah ini. Golongan muda ini kebiasaannya dari keluarga yang bermasalah atau kurang pendidikan agama atau moral. Sebahagian mereka juga menghadapi masalah sosial," katanya.

Walaupun polis tidak menyediakan khidmat kaunseling, Mohd Mokhtar berkata, mereka bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dengan memberikan butiran penahanan pelajar.

"Kita juga aktif menganjurkan kempen kesedaran di sekolah rendah dan menengah dengan meletakkan pegawai perhubungan sekolah bagi memantau masalah yang dihadapi para pelajar," katanya.

Artikel Lain