Mimpi Dikelilingi Kain Putih Sehari Sebelum Tragedi Highland Towers - Semasa | mStar

Mimpi Dikelilingi Kain Putih Sehari Sebelum Tragedi Highland Towers

Umi Rasyidah (tiga, kanan) tidak dapat menahan sebak ketika bertemu dengan bekas majikan pertamanya Datin Hazlin Hashim (tiga, kiri) dan bekas majikan keduanya Susan Tan (dua, kiri) pada sidang media oleh Bomba dan Penyelamat pada Selasa. - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Mimpi dikelilingi kain putih sehari sebelum Blok 1 kondominium Highland Towers di Ulu Klang, Selangor, runtuh seolah-olah menjadi petanda tragedi buruk bakal berlaku pada keluarga Umi Rasyidah Khoiruman.

Menyorot kembali detik tragis 23 tahun lalu, Umi Rasyidah, 43, yang merupakan pembantu rumah ketika itu berkata pada hari kejadian 11 Disember 1993, beliau baru selesai menyuapkan makanan kepada anaknya Nur Hamidah Nadjib yang baru berusia 18 bulan di tingkat tujuh kondominium mewah tersebut.

"Selepas selesai, saya biar anak saya di ruang tamu manakala saya bersiap untuk solat zohor. Semasa nak ke bilik air, waktu itulah saya terdengar bunyi kuat dari luar.

"Apa yang saya lihat di luar menakutkan saya. Saya lihat bukit berhampiran mulai runtuh, batu-batu dari atas bukit berhampiran blok kediaman juga bergolek ke tempat parkir kereta.

"Dalam keadaan cemas itu, saya terus bergegas mendapatkan anak saya dan terus menghubungi majikan, Susan Tan," katanya ketika menceritakan pengalamannya kepada pemberita dalam sesi wawancara khas bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini, Selasa.

Katanya pada masa itu blok kediaman yang didiaminya mulai bergegar dan suasana hingar-bingar diselangi jeritan penghuni blok berkenaan.

Nur Hamidah dikucup oleh ibunya, Umi Rasyidah.

"Saya ambil kunci di ruang tamu dan kain untuk mengikat Hamidah di badan saya dan keluar ke lif untuk menyelamatkan diri.

"Malangnya belum sempat keluar dari pintu rumah, bangunan itu terus runtuh menghempap saya sehingga saya tidak sedarkan diri. Nasib baik, tangisan kuat Hamidah menyedarkan saya semula.

"Saya menyusukannya hampir tiga jam di bawah timbunan batu tersebut, sebelum saya mengumpul kekuatan menjerit meminta tolong," katanya.

Sementara itu, menceritakan pengalamannya dalam keadaan sebak, Nur Hamidah berkata beliau hanya mengetahui kisah berkenaan ketika berusia tujuh tahun.

"Setelah mengetahui kisah itu, saya berusaha mencari maklumat kejadian di laman sosial sehinggalah pada awal Februari lepas, saya diberitahu ada pihak dari Malaysia ingin bertemu saya.

"Inilah menjadi titik pertemuan saya dengan pihak yang telah menyelamatkan saya," katanya yang bersama keluarganya tinggal di Surabaya, Indonesia.

Sebelum mengakhiri pertemuan itu, Nur Hamidah melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa tragedi itu.

Insiden yang menggemparkan negara pada 11 Disember 1993 itu mengakibatkan 48 orang terkorban. - BERNAMA
Highland Towers , tanah runtuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PRN Sarawak: Adenan Terus Berteka-Teki

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

Artikel Lain

Vardy catat rekod gol luar biasa EPL