suria

Pasangan Suami Isteri Redah Api Selamatkan Tiga Anak

Noor Lizawati (kiri) bersama ibunya Siti Zabedah Abdul Karim dan dua anak lelakinya Iman Najmi (kiri) dan Iman Fahmi menceritakan pengalaman mereka terperangkap dalam kebakaran ketika ditemui di rumah Siti Zabedah di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar.
ALOR SETAR: Tindakan pantas seorang lelaki dan isterinya telah menyelamatkan tiga anak mereka daripada kebakaran yang berlaku awal pagi Selasa yang memusnahkan rumah mereka di Lorong Seri di sini.

Dalam kebakaran pukul 3.30 pagi Selasa, peniaga makanan Mohd Sabri Abdul Majid, 47, dan isterinya Norlizawati Hamzah, 41, terjaga dari tidur apabila mendengar anak perempuan mereka Nur Fatihah, 19, menjerit meminta tolong.

"Suami saya bangun dari katil dan membuka pintu. Asap tebal masuk ke dalam bilik tidur kami," kata Noor Lizawati.

Ketika Mohd Sabri bergelut dengan asap asap tebal untuk mencari anak perempuannya, isterinya pula berlari ke dalam bilik tidur anak lelaki mereka Iman Najmi, 15, dan Iman Fahmi, sembilan.

"Saya membawa anak-anak saya ke pintu dapur dan saya nampak Nur Fatihah. Rambut dan mukanya telah terbakar. Saya menolak anak lelaki saya keluar dan ketika itu dia berada di belakang saya, tetapi saya mendapati dia tidak keluar sekali dengan kami," kata Noor Lizawati.

Mohd Sabri, yang terlebih dahulu keluar kemudian berlari masuk semula ke dalam rumah yang terbakar.

Dia mendapati anak perempuannya bersembunyi di bawah meja makan dan pantas menariknya keluar.

Dia dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana banyak terhidu asap tebal manakala Nur Fatihah mengalami kecederaan serius.

30 peratus bahagian badannya terbakar termasuklah muka, bahu dan tangan.

Noor Lizawati berkata anak perempuannya merupakan pelajar tajaan Mara dan sedang membuat persediaan mengikuti program ijazah dalam kejuruteraan pesawat di Rusia.

"Semua telah musnah sekarang. Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa barang kemas dan duit raya yang saya simpan dalam balang di dapur. Semua harapan kami musnah," katanya sambil menangis.

Dia mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas di dalam kotak fius kerana bekalan elektrik beberapa kali mengalami gangguan pada malam Isnin.

Mereka juga kehilangan dua buah kereta dan dua motosikal dalam kebakaran itu.
kebakaran, rumah terbakar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain