suria

Harga Roti Canai Tak Perlu Naik - Pemilik Restoran

-fotoTHESTAR/Izzrafiq Alias
PUTRAJAYA: Penghapusan subsidi sebanyak RM8.25 untuk 25kg tepung serba guna kini berkuat kuasa, tetapi kedai-kedai makan akan mengekalkan harga makanan bagi memastikan pelanggan mereka terus gembira.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, subsidi itu ditarik balik kerana kebanyakan isi rumah tidak membeli tepung dengan bungkusan 25kg.

Tetapi subsidi untuk bungkusan 1kg tepung kekal.

Salah satu hidangan yang terjejas akibat penghapusan subsidi itu adalah makanan tempatan, roti canai.

Pemilik Sri Paandi Restaurant di Petaling Jaya, A. Sinnaiah, 52, bagaimanapun berkata, dia mahu mengekalkan harga roti canai di tempatnya iaitu RM1.30 sekeping.

Katanya peningkatan sebanyak RM8.25 bagi setiap 25kg tepung juga tidak akan menyebabkan kenaikan walau 10 sen.

Sinnaiyah berkata restorannya menggunakan 375kg tepung jenis Blue Key dalam sebulan, justeru penghapusan subsidi akan meningkatkan kos bulanannya sebanyak RM123.75.

Difahamkan, pek 25kg tepung berkurangan pada minggu lalu, dengan beberapa restoran telah mula membeli bungkusan tepung 1kg jenama yang sama.

Jamal Mohamed, 76, yang menjalankan perniagaan Restoran Jamal Mohamed di Petaling Jaya selama kira-kira 40 tahun berkata, beliau hanya mendapat tahu tentang penghapusan subsidi itu ketika pergi membeli stok barang di pasar Selayang pada Isnin.

"Saya tidak gembira kerana tidak ada notis rasmi mengenai perkara ini sebelum ini," katanya.

Tetapi beliau tidak akan menaikkan harga atau mengurangkan saiz roti canai yang dijual pada harga RM1.20 setiap satu.

"Saya perlu terus membuatkan pelanggan saya gembira," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang S.M. Mohamed Idris berkata, restoran tidak mempunyai justifikasi untuk menaikkan harga.

"Ia hanya beberapa sen, jadi ia boleh diserap. Peniaga tidak perlu mengeksploitasikan keadaan kerana peningkatan itu adalah nominal berbanding harga sekilogram tepung."

Ketua Ekonomi Alliance Bank Manokaran Mottain berkata, jika terdapat perniagaan yang menaikkan harga, maka agensi-agensi penguatkuasaan perlu mengambil tindakan.

Artikel Lain