Polis Siasat Insiden Tembak Ahli Majlis MBI Ada Kaitan Kes Lampau - Semasa | mStar

Polis Siasat Insiden Tembak Ahli Majlis MBI Ada Kaitan Kes Lampau

IPOH: Polis sedang menyiasat sama ada motif kes tembakan ke arah kereta seorang Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sebuah taman perumahan di sini Sabtu lepas, ada kaitan dengan kes membabitkan ahli majlis bergelar 'datuk' itu dua tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian dua tahun lalu itu, mangsa cedera parah akibat ditikam senjata tajam selepas diserang dua lelaki di sebuah premis di Jalan Datuk Seri Ahmad Said di sini.

Berhubung kejadian tembakan itu, beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menunggu mangsa di sekitar kawasan perumahan itu sebelum melepaskan satu das tembakan. 

Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang itu, mangsa yang berumur 56 tahun terselamat berikutan tembakan dilepaskan lelaki itu hanya terkena pintu kanan  bahagian belakang kereta. 

"Mangsa kemudian bertindak memecut kenderaan ke Balai Polis Sungai Senam yang terletak kira-kira lima kilometer dari kediamannya untuk menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, di sini hari ini. 

Chang Keong berkata, polis sedang giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.-- Bernama

Artikel Sebelum

Nasib Kassim Ahmad Diketahui 22 Februari Ini

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Tulang Tangan Manusia Ditemukan Di Ipoh

Lebih Artikel