suria

PKR Tak Akan Pecah Undi PRU-14: Azmin

Mohamed Azmin Ali.

KAJANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengekalkan prinsip satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang walaupun PAS berhasrat untuk bertanding dalam pertembungan pelbagai penjuru menentang DAP dan Parti Amanah Negara, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden PKR itu berkata semua parti pembangkang perlu melalui proses rundingan bagi memastikan pertembungan 'satu lawan satu' dengan musuh politik utama mereka.

Namun, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata perkara itu tidak begitu dibimbanginya buat masa ini.

"Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih lama lagi. Keutamaan saya buat masa ini adalah untuk membangunkan negeri dan bagaimana untuk memberi manfaat kepada rakyat," katanya selepas majlis penyerahan hak milik tanah di sini, Ahad.

Pada Sabtu, Ketua Dewan Ulama PAs, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata PAS bertekad untuk menentang bekas sekutunya iaitu DAP dan Pakatan Amanah Negara (Amanah) selain Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pendirian itu selaras dengan keputusan parti Islam berkenaan untuk bergerak sendiri tetapi masih mengekalkan kerjasama politik dengan PKR.

"Inilah yang berlaku apabila kita memilih untuk bersendirian. Kami akan bertanding di lebih banyak kerusi, termasuk yang ditandingi oleh DAP dan Amanah kerana kita tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mereka.

"Kami tidak akan berikan walaupun satu kerusi kepada Amanah, walaupun ia bakal menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru," katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad pada minggu lalu mendedahkan PAS Selangor akan bertanding di 25 kerusi - lima kerusi daripada 20 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya umum lalu.

Azmin bagaimanapun berkata keadaan politik amat berbeza di Selangor.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada pembahagian lapan kerusi  ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk Amanah di Selangor.

"Saya bersyukur kerana pembahagian kerusi ini tidak dilihat sebagai ganjaran politik tetapi satu tanggungjawab demokrasi yang membabitkan semua parti politik," katanya.

PKR, pecah undi, Mohamed Azmin Ali, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain