suria

Dua Lelaki Larikan Peti Simpanan Milik MAIPs

KANGAR: Dua lelaki memperdayakan seorang pengawal keselamatan lalu mengikatnya sebelum melarikan peti simpanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengandungi wang tunai kira-kira RM13,000 awal pagi Ahad.

Ketua Polis Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata kedua-dua lelaki itu berpura-pura ingin berjumpa pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor pukul 6.15 pagi.

Menurut pengawal keselamatan itu, suspek tidak dikenali itu mengetuk pintu masuk utama (bangunan MAIps) sebelum beliau membuka pintu dan tiba-tiba mereka menerpa masuk lalu menangkap dan mengikatnya dengan tali ketika beliau ingin menghubungi Mohd Nazim, kata Abdul Rahman.

"Mereka kemudian naik ke tingkat empat dan mengusung satu peti simpanan sebelum melarikan diri menggunakan kereta Proton Wira Aeroback," kata Abdul Rahman kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata pengawal keselamatan itu tidak mengecam wajah suspek yang didakwa memakai topeng.

Abdul Rahman berkata ikatan pada mangsa dibuka rakannya yang tiba di bangunan MAIPs kira-kira 7 pagi sebelum menghubungi pihak polis memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Pengawal keselamatan berusia 22 tahun berasal dari Changlun, Kedah itu ditahan selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya menambah bahawa peti besi itu turut mengandungi cek milik MAIPs. - BERNAMA

peti simpanan, MAIPs

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain