suria

Penguat kuasa MBPP Lapor Polis Dikasari Pemandu Teksi

GEORGE TOWN: Seorang penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuat laporan polis selepas dikasari seorang pemandu teksi ketika sedang menjalankan tugas di hadapan perhentian teksi di Persiaran Gurney, di sini malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian 8.30 malam itu, penguat kuasa berusia 28 tahun berkenaan sedang menjalankan tugas bersama dua lagi rakannya di kawasan tersebut.

Kejadian itu berlaku selepas penguat kuasa berkenaan meminta pemandu teksi tersebut mengalihkan kenderaannya yang diletakkan dalam keadaan berlapis, bagaimanapun tidak diendahkan lelaki itu, katanya di sini, Sabtu.

Katanya penguat kuasa itu mengambil tindakan mengunci tayar teksi berkenaan dan tiba-tiba pemandunya memarahi mangsa dengan nada yang tinggi dan terus menarik mangsa hingga ke trak MBPP yang terletak di laluan bertentangan.

Mior Faridalatrash berkata semasa di trak MBPP itu pemandu teksi berusia lingkungan 50-an itu terus memarahi penguat kuasa berkenaan serta meminta kad pengenalan dan kad kuasa lelaki itu.

Katanya kejadian itu berjaya dileraikan selepas anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan menyelesaikan masalah berkenaan.

Mior Faridalatrash berkata pemandu teksi yang terlibat dalam kejadian itu turut membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, katanya.

Sementara itu, video kira-kira seminit yang memaparkan seorang pemandu teksi menarik dan cuba mengasari penguat kuasa MBPP menjadi viral di laman sosial Facebook. Pemandu terbabit juga turut memarahi penguat kuasa terbabit. -- Bernama


Artikel Sebelum

PAS Sedia Tentang Amanah, DAP

Artikel Berikut

Artikel Lain