suria

Isu Tandas Sekolah Kenakan Bayaran Cetus Kontroversi

GEORGE TOWN: Status beserta gambar yang dimuat naik di satu akaun Facebook mengenai caj 30 sen yang dikenakan kepada pelajar jika ingin menggunakan tandas sekolah menarik perhatian Menteri Pendidikan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid turut berkongsi posting berkenaan yang kini menjadi viral di media sosial.

"Ia di bawah perhatian Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya," kata Mahdzir dalam posting Facebooknya yang turut mengundang banyak komen.

Laman Facebook 'Penang Kini' menyatakan bahawa pihaknya menerima aduan daripada ibu bapa yang tidak puas hati dengan tindakan sekolah yang mengenakan bayaran untuk ke tandas.

Ia menyatakan bahawa keputusan itu dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni sekolah terbabit.

Seorang lelaki yang mengaku mengajar di sekolah itu mengulas mengenai status berkenaan yang mengakui bahawa dasar berkenaan sememangnya wujud namun sudah ditamatkan.

Beliau berkata pelajar mempunyai pilihan untuk menggunakan tandas berbayar atau menggunakan tandas percuma.

Selain itu beberapa gadis yang mengakui sebagai bekas pelajar sekolah itu menyatakan bahawa mereka tidak keberatan untuk membayar caj berkenaan selepas mereka diberitahu bahawa wang itu akan didermakan kepada golongan miskin.

Bagaimanapun presiden alumni sekolah, Petra Oon menafikan bahawa pihaknya telah meluluskan dasar berkenaan dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali laman Facebook 'Penang Kini' jika status berkenaan tidak dipadam.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shaari Osman dan pengetua sekolah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Artikel Lain