suria

Tamat Misi Kutub Selatan Dalam 37 Hari

PUTRAJAYA: Penjelajah negara ke Kutub Selatan, Shahrom Abdullah berjaya menamatkan misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan dalam tempoh 37 hari.

Menurut Penasihat Ekspedisi Datuk Akmar Hisham Mohd Yusof, Shahrom, 36, berjaya sampai ke mercu tanda titik sifar darjah Kutub Selatan pada pukul 4.30 pagi Sabtu waktu Malaysia (5.30 petang Jumaat waktu tempatan).

Beliau berkata, Shahrom menamatkan misi itu dengan berski dari Messner Inlet ke titik sifar darjah Kutub Selatan sejauh 890 kilometer.

Katanya, Shahrom yang berasal dari Gua Musang, Kelantan bukan sahaja berjaya menamatkan misi itu, malah melakukannya dalam tempoh yang lebih singkat berbanding jangkaan awal selama 50 hingga 60 hari.

 "Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana Shahrom berjaya menamatkan misi merentas Kutub Selatan itu, sekali gus membuktikan sesungguhnya anak Malaysia mampu melakukan apa sahaja cabaran," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Menurutnya kejayaan Shahrom itu juga menandakan satu lagi pencapaian bertaraf dunia yang berjaya dicatat rakyat Malaysia.

Akmar Hisham yang juga Setiausaha Akhbar Perdana Menteri dan Penasihat Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B), kejayaan dan pencapaian Shahrom wajar menjadi kebanggaan kerana Shahrom menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan ekspedisi merentas Kutub Selatan sejauh hampir seribu kilometer menggunakan ski.

"Saya juga telah maklumkan kepada Perdana Menteri pagi tadi mengenai kejayaan ini kerana beliau sangat mengambil berat mengenai perjalanan ekspedisi serta keselamatan Shahrom. 

"Beliau tahu bagaimana kesukaran melakukan ekspedisi di sana kerana pernah menjejak kaki di Antartika. Beliau merasa sangat gembira mendengar berita kejayaan ini," katanya. 

Sementara itu, Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin, bersyukur kerana satu lagi kejayaan dilakar KE7B selaku pengelola ekspedisi itu.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Shahrom di atas kejayaan cemerlang beliau menamatkan misi merentas benua ais paling sejuk di dunia tanpa sebarang masalah," katanya.

Qobin berkata pihaknya akan membuat persiapan menyambut kepulangan Shahrom ke tanah air pada Jumaat depan selepas mendapat pengesahan tarikh penerbangan pulangnya dari Buenos Aires.

Shahrom memulakan ekspedisinya pada 9 Disember 2015 selepas tarikh asalnya tertangguh selama dua minggu akibat masalah penerbangan dari Union Glacier ke Messner Inlet kerana cuaca tidak mengizinkan.

Misi Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Selatan 2015 itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada awal Julai 2015.-- Bernama

Kutub Selatan, Shahrom Abdullah, KE7B

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain