suria

AirAsia Ajak Orang Ramai Sertai Inisiatif #GREEN24

KUALA LUMPUR: Kumpulan AirAsia mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai inisiatif kesedaran perubahan cuaca #GREEN24 yang merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporatnya di rantau Asean.

Menurut AirAsia, #GREEN24 yang dilancarkan pada November lepas dengan aktiviti kesedaran selama 24 jam telah dibuat bagi mendidik dan mempromosikan kesedaran alam sekitar.

Aktiviti permulaannya menyaksikan lebih 150 sukarelawan dari seluruh Kumpulan AirAsia dan Kumpulan Tune Group melibatkan diri untuk membersihkan air terjun hutan hujan Kanching di Rawang.

Hampir 600 kilogram sampah dikumpulkan dalam masa 90 minit, kata syarikat penerbangan itu.

AirAsia dalam satu kenyataan, Jumaat berkata ia telah mengeluarkan satu video khas di saluran YouTube AirAsia, yang menampilkan mesej Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes, menjemput orang ramai untuk menjadi proaktif dalam melindungi alam sekitar serta bumi.

Fernandes berkata di rantau sebelah sini, masih ramai orang yang tidak menyedari isu-isu perubahan iklim dan kumpulan itu merasakan bahawa perkara ini patut dimaklumkan kepada orang ramai.

"Ramai di antara mereka yang gagal melihat masalah akan datang, tetapi kami di AirAsia telah melihat kesan perubahan iklim seperti Taufan Haiyan yang melanda Tacloban di Filipina, banjir yang berlaku di rantau ini dan perubahan iklim secara besar-besaran dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas.

"Kita sentiasa menjaga dan memberi keutamaan kepada ibu-ibu kita dalam banyak perkara. Sekarang ini, sudah sampai masa bagi kita meletakkan Ibu Bumi di tempat pertama juga serta memberitahu dunia bahawa planet ini perlu penjagaan yang lebih baik," katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata aktiviti utama #GREEN24 akan dijalankan pada 29-30 Januari tahun ini di seluruh negara-negara yang melibatkan operasi  kumpulan itu, ia mengalu-alukan penyertaan umum di seluruh rantau ini bagi menggalakkan kesedaran perubahan cuaca di rumah, tempat kerja, bandar dan negara masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, sila layari airasia.com/green24.-- Bernama




AirAsia, #GREN24, Kanching

Artikel Berikut

Artikel Lain