suria

Empat Ditangkap Terlibat IS

KUALA LUMPUR: Empat warga Malaysia termasuk pasangan suami isteri ditahan atas dakwaan terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara berkata tiga daripada suspek termasuk pasangan suami isteri, ditahan oleh pihak berkuasa Turki ketika cuba menyelinap ke Syria pada 15 November tahun lepas.

Sementara itu katanya seorang lagi suspek ditahan di stesen LRT Setiawangsa pada Jumaat malam oleh Bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman.

"Ketiga-tiga suspek yang ditangkap di Gaziantep, Turki telah dihantar pulang ke Malaysia pada Isnin lepas.

"Mereka telah direkrut oleh militan Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi atau dikenali sebagai Abu Hamzah, melalui Facebook dan Telegram. Dia juga bertanggungjawab merancang penyusupan masuk ketiga-tiga suspek ke Syria," kata Khalid dalam kenyataan pada Sabtu.

Suspek keempat - seorang lelaki berusia 28 tahun dari Terengganu - merancang untuk menjalankan serangan bunuh diri di negara ini.

"Beliau telah menerima arahan daripada pemimpin IS di Syria untuk menyasarkan Malaysia.

"Orang ini juga bertanggungjawab menggantung bendera IS di Terengganu, Perak, Selangor dan Johor," kata Khalid, sambil menambah bahawa bendera itu bertujuan untuk memberi amaran kepada pihak berkuasa supaya tidak mengambil tindakan ke atas ahli-ahli IS.

Keempat-empat suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma).

Militan, Negara Islam

Artikel Berikut

Artikel Lain