suria

Bom Jakarta: Rakyat Malaysia Dinasihat Berhubung Dengan Kedutaan

KEPALA BATAS: Rakyat Malaysia yang merancang untuk bercuti ke Jakarta, Indonesia dinasihatkan mengambil langkah keselamatan dan mendapat nasihat pihak kedutaan terlebih dahulu, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata aspek keselamatan susulan insiden pengeboman di Jakarta pada 14 Jan lepas berada dalam bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

"Adalah lebih baik mereka mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihakkedutaan supaya mengambil langkah lebih berjaga-jaga agar sebarang bentuk insiden yang berlaku tidak akan menimpa rakyat kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama Jawatankuasa Veteran Umno Kepala Batas, di Wisma Umno Kepala Batas, di sini Sabtu.

Orang ramai boleh menghubungi kedutaan Malaysia di Jakarta menerusi talian 0062 21 5224 947 atau melalui e-mel kedutaan [email protected] bagi mendapatkan nasihat dan pandangan, katanya.

Tujuh orang - lima pengganas dan dua orang awam - disahkan terkorban dalam insiden tembak-menembak dan serangan bom berhampiran Gedung Sarinah di Jalan MH Thamrin, di tengah-tengah ibu kota Jakarta.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata pihak polis dan penyiasat di Madinah masih belum dapat mengesan rakyat Malaysia yang dilapor hilang di Madinah, Arab Saudi pada 19 Disember lepas, Nor Azimah Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau berkata Nor Azimah dipercayai tidak keluar meninggalkan negara itu dan masih lagi berada sama ada di Makkah atau Madinah.

"Saya boleh maklumkan bapa beliau telah pulang ke Malaysia ditemani seorang daripada profesor yang bertugas di Madinah.

Pihak polis dan pihak penyiasat masih lagi melakukan sedaya mungkin untuk mendapatkan petunjuk bagi menjejaki Nor Azimah," katanya.

Nor Azimah, 31, yang berasal dari Seksyen 30, Shah Alam, Selangor, berlepas ke Tanah Suci bersama ibu bapanya untuk mengerjakan umrah pada 11 Disember lepas dan dijadual pulang ke Malaysia pada 22 Dis.

Pada hari kejadian wanita itu berada dalam keadaan tidak sihat dan tidak mengikut ibu bapanya melakukan ziarah sebelum dilapor hilang ketika berada di Masjid an-Nabawi.-Bernama

Bom Jakarta, Langkah keselamatan

Artikel Berikut

Empat Ditangkap Terlibat IS

Artikel Lain