suria

Najib Pertahan Hak Saman Dr Ling

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa beliau mempunyai hak dalam perlembagaan untuk melindungi reputasinya berhubung kenyataan fitnah terhadapnya.

Najib berkata haknya diiktiraf oleh undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan yang diluluskan oleh Parlimen.

Perdana Menteri berkata beliau mempunyai hak untuk mempertahankan maruah dan nama baiknya dengan memulakan suatu tindakan terhadap pihak yang membuat kenyataan fitnah terhadapnya.

Najib berkata tidak ada peruntukan undang-undang yang menghalangnya untuk mengambil tindakan walaupun dengan kedudukannya sekarang.

Bagi mengulas kenyataan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik bahawa Najib tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mengambil tindakan saman, Najib berkata dakwaan itu "adalah tanpa asas undang-undang".

Menerusi dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada Selasa, Najib berkata Dr Ling gagal menyatakan dengan jelas pertikaiannya mengenai dakwaan fitnah tersebut.

Dokumen berkenaan diperolehi media pada Rabu.

Mahkamah Tinggi pada Isnin lalu mencadangkan supaya kes saman fitnah Najib terhadap Dr Ling berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri, diselesaikan melalui proses mediasi.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Najib, memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk John Louis O'hara membuat cadangan itu selepas kes berkenaan disebut dalam kamarnya.

Najib Tun Razak, Ling Liong Sik

Artikel Lain