suria

Ah long Simbah Cat, Bakar Pintu Rumah

KUALA LUMPUR: Peminjam wang tanpa lesen (ah long) bertindak menyimbah cat dan gam serta membakar pintu pagar sebuah rumah selepas seorang wanita yang gagal membayar pinjaman bernilai lebih RM150,000 mendedahkan alamat keluarganya.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, keluarga wanita tersebut menghubungi beliau untuk mendapatkan bantuan selepas mereka berkali-kali diganggu oleh ah long.

"Ng Hui Yoong, 25, meminjam wang daripada ah long dan memberikan alamat keluarganya dan bukan alamatnya sendiri. Dia melarikan diri dari rumah dua tahun lalu dan jarang berhubung dengan keluarga.

"Kakak dan ibunya menghubungi saya meminta tolong," katanya ketika sidang media pada Rabu.

Menurut Chong, pada Disember tahun lepas Ng telah membawa bapanya, 63, untuk menemui dua ah long bagi membincangkan mengenai perkara itu.

"Pada pertengahan bulan Disember, empat lelaki datang ke rumah ibunya dan mengunci pintu rumah. Mereka menuntut ibunya supaya melunaskan hutang.

"Beberapa hari kemudian mereka melemparkan batu-bata di rumah dan turut menyimbah cat kuning, hitam dan merah dalam tiga kejadian berasingan.

"Pada 8 Januari, tiga lelaki mencurahkan petrol dan membakar pintu pagar rumah mereka," kata Chong.

Tambahnya, sebanyak lima laporan polis telah dibuat di Balai Polis Klang Selatan.

"Polis mempunyai butiran ah long, jadi saya menggesa mereka untuk menyiasat perkara itu dengan segera," kata Chong.

Selain itu beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mendapatkan khidmat peminjam wang haram.

"Tahun lepas saya menguruskan 621 kes ugutan ah long yang melibatkan lebih daripada RM76 juta. Kebanyakan yang pergi kepada ah long adalah daripada masyarakat Cina.

"Tahun ini saya telah melihat 16 kes yang melibatkan RM942,000 dalam masa dua minggu," katanya.

Ah Long

Artikel Sebelum

Artikel Lain