suria

Polis Terima Lima Aduan Wang Kertas RM100 Palsu

KANGAR: Polis Perlis menerima lima aduan berkaitan not RM100 palsu sejak 1 Januari hingga Selasa, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Deputi Superitendan Mohd Rawi Ab Ghani.

Beliau berkata wang kertas palsu itu kelihatan seperti tulen tetapi tiada ciri keselamatan seperti pantulan cahaya ungu manakala nombor sirinya sama.

"Permukaan kertas not RM100 palsu ini lebih kasar dan tebal berbanding not tulen. Polis masih menyiasat aduan-aduan ini," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata orang ramai yang memalsukan, mengguna dan memiliki wang palsu adalah salah mengikut Seksyen 489A, 489B dan 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda. 

Individu yang memiliki mata wang palsu dengan maksud menggunakannya juga boleh dihukum penjara sehinga 10 tahun, kata Mohd Rawi. 

Beliau meminta orang ramai agar lebih berwaspada menggunakan wang kertas dalam urusan harian dan meminta mereka menyalurkan maklumat mengenainya kepada IPK Perlis di talian 04-9082280 atau emel [email protected]. -- Bernama 




Md Rawi Ab Ghani, RM100, Perlis

Artikel Sebelum

Selangor Tidak Haramkan Vape

Artikel Lain