suria

Remaja 14 Tahun Ditahan Edar Dadah

SIBU: Usianya baru 14 tahun namun seorang remaja yang tercicir sekolah sudah terlibat aktiviti pengedaran dadah di bandar Sibu.

Ia ditahan bersama empat lelaki berusia hingga 48 tahun di sebuah rumah di Jalan Hua Khiew di sini dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak dan IPD Sibu pada 12.30 tengah hari, Isnin.

"Dalam serbuan tersebut polis menemui lebih 191g ketulan kristal dipercayai syabu atau methamphetamine di dalam beberapa plastik lutsinar pelbagai saiz dianggarkan bernilai RM53,700," kata Timbalan Ketua Polis Sibu Supt Martin Khoo.

Turut ditemui ialah 13.90g dadah dipercayai ketamin bernilai RM1,112.

Bercakap pada sidang akhbar di sini pada Selasa beliau berkata, pihaknya  percaya remaja itu baru berjinak-jinak di dalam aktiviti pengedaran dadah itu.

Martin memberitahu, daripada empat lelaki dewasa yang telah lama bergiat mengedar dadah itu, tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau kegiatan dadah dan dua adalah bersaudara.

Kesemua mereka yang didapati positif dadah telah direman tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Polis turut menyita empat buah kenderaan pelbagai jenis yang keseluruhan bernilai RM92,000 dan beberapa barang kemas bernilai RM14,000 selain wang tunai RM1,050 daripada mereka.

Martin berkata, kawasan Jalan Hua Khiew yang terkenal sebagai hotspot aktiviti dadah di bandar ini telah dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam Program Bandar Selamat.

"Perbincangan telah dijalankan dengan Majlis Perbandaran Sibu mengenai perkara itu dan apabila dilaksanakan kelak ia dapat menjadikan kawasan itu bebas dadah," katanya.

Dadah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain