suria

Lapan Kanak-Kanak Dilatih Jadi Pejuang IS

KUALA LUMPUR: Cawangan Khas Bukit Aman pada Selasa mendedahkan sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak Malaysia direkrut dan dilatih menjadi pejuang militan Islamic State (IS) di kem Syria dan Iraq.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Fuzi Mohd Harun berkata walaupun pihaknya tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung perkara itu, tetapi hasil siasatan polis menunjukkan kanak-kanak itu sedang dilatih di kem-kem berkenaan.

"Kanak-kanak ini akan ditempatkan di pusat kanak-kanak IS untuk dibentuk dan dilatih menjadi pejuang IS.

"Mereka dibawa masuk ke negara-negara yang dilanda perang oleh kedua-dua ibu bapa yang menyertai IS," katanya sambil enggan menyatakan jantina dan umur kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Bukit Aman di sini, Selasa.

Susulan itu, Mohamad Fuzi berkata statistik terkini penglibatan warga Malaysia dalam kegiatan militan IS di Syria dan Iraq ialah seramai 47 individu.

Daripada jumlah itu, seramai 12 orang adalah wanita, lapan kanak-kanak dan  selebihnya lelaki.

"Daripada jumlah itu juga, seramai 17 individu dilaporkan telah meninggal dunia akibat tindakan mereka terlibat dalam pengeboman berani mati. Ada juga anggota kumpulan itu yang kembali ke Malaysia dan telah didakwa di mahkamah," katanya.

Mohamad Fuzi berkata Polis DiRaja Malaysia sentiasa memantau kegiatan mereka sekembalinya di negara ini kerana dikhuatiri menyebarkan fahaman ekstremis itu.

Militan, Pejuang IS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain