suria

Sisa Pepejal: SWCorp Keluarkan 3,610 Notis Peringatan

Jalaluddin memasukkan sampah yang telah diasingkan di dalam sangkar khas yang disediakan pada Program pengasingan Sisa Pepejal Di Perumahan Bertingkat Rumah Pangsa Senawang 1 pada Selasa. - fotoBERNAMA

SEREMBAN: Sebanyak 3,610 notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik premis di Negeri Sembilan yang gagal melakukan pengasingan sisa pepejal di punca atau rumah, kata Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri Zainal Fitri Ahmad.

Katanya, setakat Selasa, SWCorp memeriksa sebanyak 76,080 premis daripada 218,947 premis di seluruh negeri.

"Kita juga akan melaksanakan pemeriksaan di lokasi peletakan sangkar yang ditetapkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi memastikan pengasingan sisa pepejal di punca benar-benar dilaksanakan penduduk perumahan bertingkat atau strata," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Taklimat dan Sidang Media Penyerahan Sangkar Khas Pengasingan Sisa Pepejal oleh SWM Environment Sdn Bhd kepada penduduk rumah pangsa di Senawang, dekat sini.

Penyerahan sangkar tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Jalaludin Alias, yang turut dihadiri Pengurus SWM Environment negeri Mahadi Abd Talib.

Jalaluddin berkata penyediaan sangkar khas akan memudahkan penduduk di kawasan strata melupuskan sisa pepejal yang telah diasingkan di tempat betul bagi menjaga kebersihan persekitaran.

Beliau berkata sehingga kini, terdapat 20 sangkar khas pengasingan sisa di punca dipasang di perumahan strata sekitar daerah itu.

"Kita menyasarkan 109 sangkar khas pengasingan sisa pepejal di punca akan siap dipasang di 33,654 lokasi kediaman berstrata di seluruh negeri menjelang Mac tahun depan," katanya. - BERNAMA

sisa pepejal, SWCorp

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain