suria

Kritikan "Cari Makan": Tiada Lagi Sidang Media PAC

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak akan mengadakan sidang media selepas mendapat pelbagai kritikan susulan kenyataan "cari makan" yang dikeluarkan pengerusi baharunya pada Rabu.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Ariffin berkata, beliau kecewa kerana usahanya untuk mewujudkan suasana mesra antara jawatankuasa itu dan media tidak dihargai sesetengah pihak.

Pada Rabu, Hasan mempengerusikan mesyuarat PAC pertama dan topik yang dibincangkan adalha mengenai kelewatan projek lebuhraya pantai timur II dan kelemahan projek akuakultur yang dikendalikan Pihak berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.

Bagaimanapun ketika ditanya pada sidang media yang diadakan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Hasan dilaporkan berkata, "Saya pun cari makan" apabila ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga penasihat syarikat itu akan dipanggil PAC berkaitan isu 1MDB.

"Tidak perlu panggil Perdana Menteri. Janganlah, saya pun cari makan," katanya.

Menerusi kenyataannya pada Khamis, Hasan berkata, walaupun beliau meminta wartawan supaya tidak menyiarkan kenyataannya itu, di mana katanya ia sekadar gurauan, tetapi masih ada yang menyiarkannya.

"Sehubungan itu, mulai 23 November, PAC tidak akan adakan sebarang sidang media," kata Hasan.

Beliau menambah, sebarang maklumat akan disampaikan menerusi kenyataan rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dipanggil untuk memberi keterangan kepada PAC pada 1 Disember, selepas Datuk Shahrol Helmi pada 25 November ini.


PAC, Hasan Ariffin, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain