suria

Perhimpunan Aman Warga Teksi: Tindakan Tegas Jika Berlaku Provokasi - KPN

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta Perhimpunan Aman Warga Teksi di Padang Merbok di sini esok jika berlaku sebarang provokasi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sepanjang perhimpunan itu berlangsung mereka perlu mematuhi undang-undang dan arahan daripada PDRM.

"Jika mereka ingkar arahan, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengawal keselamatan orang awam," katanya.

Sementara itu, Penyelia Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang Kamarudin Mohd Hussain berkata pihaknya akur dengan nasihat Ketua Polis Daerah Dang Wangi agar perhimpunan itu diadakan hanya di satu lokasi - Padang Merbok.

"Walaupun permit perhimpunan kami tidak diluluskan polis, kami tetap meminta bantuan polis bagi mengawal keadaan supaya tidak berlaku provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara," katanya ketika dihubungi.

Kamarudin berkata lebih 3,000 peserta dijangka mengambil bahagian.

Antara objektif utama perhimpunan ini adalah untuk mendesak supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dirombak dan kerajaan mengharamkan aplikasi Uber dan Grabcar yang dikatakan menjejas periuk nasi pemandu teksi. - BERNAMA

perhimpunan aman, warga teksi, SPAD

Artikel Lain