suria

Jenazah Kekanda Yang Di-Pertuan Agong Selamat Disemadikan

Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah menyiram air mawar pada makam Allahyarhamah Datuk Tunku Hamidah Sultan Badlishah di Makam Diraja Langgar, Khamis.

ALOR SETAR: Jenazah Tunku Hamidah Almarhum Sultan Badlishah, kekanda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, tengah hari, Khamis.

Almarhumah Tunku Hamidah, 90, mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) 11.50 pagi, Rabu akibat gering.

Solat jenazah diimamkan Mufti Negeri Datuk Paduka Syeikh Muhammad Baderudin Ahmad di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit pada 9.30 pagi tadi, sebelum dibawa ke Makam Diraja Langgar.

Yang turut berangkat memberi penghormatan termasuk Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir serta barisan exco kerajaan negeri.

Bermula 3 petang sehingga 7 malam semalam, jenazah Almarhumah disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit bagi membolehkan penghormatan terakhir dilakukan.-- Bernama

Tunku Hamidah, Istana Anak Bukit

Artikel Lain