suria

Wanita Hampir Maut Kereta Dirempuh Lori Bawa Muatan Bongkah Batu

Seorang penduduk melihat sebuah treler yang membawa muatan batu merempuh pagar sekolah sebelum menyeret sebuah kereta yang dinaiki seorang wanita di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Pelindung di Kuantan pada Isnin. - fotoBERNAMA

KUANTAN: Seorang wanita hampir maut selepas kereta dipandunya diseret sebuah lori mengangkut bongkah batu dalam kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 2.55 petang itu, mangsa berumur lingkungan 40-an itu dilaporkan sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah sebelum tiba-tiba sebuah lori yang sedang menuruni bukit di hadapan sekolah berkenaan, merempuh keretanya.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Pelindung Indah, Wan Fauzi Wan Abd Kadir yang menyaksikan kejadian itu, berkata akibat rempuhan itu, lori dan kereta berkenaan menjunam dan merempuh pagar tangki air sekolah tersebut.

"Wanita berkenaan mengalami kecederaan dan pengsan. Mangsa dikeluarkan dari kereta dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

"Nasib baik, ketika kejadian belum ramai pelajar yang keluar daripada  kawasan sekolah, jika tidak keadaan mungkin lebih teruk," katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Pelindung, Zulaimi Ahmad berkata sebelum ini, pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai aktiviti mengangkut bongkah batu dan tanah di kawasan itu yang membahayakan keselamatan pelajar.

"Tetapi ia tetap diteruskan tanpa mengira waktu, malah pada waktu puncak  dan semasa sesi persekolahan tamat, kawasan sekitar sekolah semakin sesak apabila lori ini keluar masuk meneruskan aktiviti.

"Jadi kita mohon agar pihak berkuasa memantau keadaan ini dan memasang pagar atau halangan untuk keselamatan pelajar sebelum kejadian lebih buruk berlaku," katanya.

kemalangan, lori

Artikel Sebelum

Artikel Lain