suria

Mangsa Banjir Kelantan: Agihan Bantuan RM500 Diselesaikan Dalam Masa Terdekat

Ahmad Jazlan Yaakub.

MACHANG: Kerajaan memberi jaminan mangsa banjir besar di Kelantan akhir tahun lepas, yang nama mereka tercicir daripada senarai penerima bantuan RM500 sekeluarga akan menerima bantuan itu tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengagihkan bantuan fasa kedua yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

"Kelewatan itu disebabkan terdapat dalam kalangan mereka (mangsa) membuat pendaftaran dua atau tiga kali di agensi berkaitan.

"Ini menyebabkan nama mereka bertindih dan memaksa agensi berkenaan menyemak semula, selain jumlah penerima terlalu besar, hampir 200,000 keluarga di seluruh Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 230 keluarga mangsa banjir dalam Parlimen Machang di sini, Isnin.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan diminta mengulas rungutan mangsa banjir yang belum menerima bantuan berkenaan walaupun banjir itu sudah berlalu lebih lapan bulan lepas.

Beliau berharap mereka yang belum menerima bantuan berkenaan agar bersabar kerana kerajaan persekutuan sentiasa prihatin dengan nasib mangsa banjir. - BERNAMA


Umno, Ahmad Jazlan Yaakub

Artikel Lain