suria

Umno, BN Pahang Sokong Keputusan PM Rombak Kabinet

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan barisan anggota Kabinet baharunya pada Selasa. Turut hadir Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUANTAN: Badan Perhubungan Umno Pahang menyokong penuh tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan rombakan kabinet semalam dan melantik barisan jemaah menteri baharu dalam usaha membentuk barisan kepimpinan negara yang lebih jitu.

Pengerusinya Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri percaya tindakan itu dilakukan bagi mengukuhkan lagi parti dan kerajaan.

"Kita akan berikan sokongan supaya apa juga masalah dihadapi dapat diselesaikan dengan cara yang lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Yayasan Pahang di sini, Rabu.

Dalam masa yang sama, Adnan yang juga Pengerusi BN negeri turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana dilantik sebagai timbalan perdana menteri yang baharu dan berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan amanah, bertanggungjawab, adil dan saksama.

"Kita juga berharap beliau dapat membantu perdana menteri menguruskan parti dan kerajaan," katanya.

Adnan juga merakamkam penghargaan Umno dan BN negeri terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang selama ini telah berkhidmat menguruskan jentera pentadbiran parti dan negara.-- Bernama


Kabinet, Umno, Pahang, BN

Artikel Lain