suria

18,000 Belia Dijangka Berpuasa Sempena Kempen 30-Hour Famine 2015

KUALA LUMPUR: Lebih 18,000 belia yang berpuasa dijangka berkumpul di Stadium Petaling Jaya pada 2 Ogos untuk menjayakan acara mengira detik sempena World Vision's 30-Hour Famine 2015.

Eksekutif Digital dan Media World Vision Malaysia (WVM) Jasmine Lee berkata program itu bertujuan membangkitkan kesedaran dan mengumpul dana untuk kemiskinan di seluruh dunia termasuk Malaysia, Vietnam dan Sri Lanka.

"Dana yang dikumpul melalui program ini akan disalur untuk projek pemakanan, kesihatan dan keselamatan makanan yang dijalankan oleh WVM dan negara-negara lain," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Jasmine berkata, peserta yang menahan diri daripada makanan pepejal selama 30 jam, akan berkumpul di stadium dalam tempoh empat jam terakhir mereka berpuasa.

Beliau berkata, ketika berpuasa, peserta akan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti permainan interaktif dan menyaksikan persembahan artis tempatan dan antarabangsa.

"Sempena program itu, mereka juga menghadiri kem kebuluran 'Do-It-Yourself (DIY) Famine Camps' iaitu mereka akan mempelajari tentang krisis kebuluran global dan bagaimana ia memberi kesan kepada golongan miskin," katanya.

Acara mengira detik itu yang berlangsung dari 10 pagi hingga 2 petang juga akan melihat penyertaan kanak-kanak berusia 12 dan ke bawah berpuasa sempena  '8-hour Kidz Famine'.

Bagi mereka yang mahu menyumbang untuk tujuan ini boleh layari  http://famine.worldvision.com.my atau hubungi WVM di talian 0378806414 untuk maklumat lanjut.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain