suria

Anwar Iktiraf Gerakan Harapan Baru

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB) ke arah pembentukan pakatan pembangkang baharu.

Menurut Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun, GHB akan memainkan peranan selari dengan NGO pro-pembangkang sedia ada dalam sistem politik negara.

"Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, yang akan melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti Bersih, Abim, Ikram dan GHB yang baharu sahaja diwujudkan.

Gerakan Harapan Baru dijangka menubuhkan sebuah parti politik pada 14 September depan.

"Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada rakyat," katanya pada Rabu.

Menerusi kenyataan yang dibuat melalui peguamnya pada Selasa itu, Anwar turut meminta semua pihak supaya mengetepikan perbezaan pendapat dan memberi fokus kepada perjuangan untuk menyelamatkan Malaysia.

Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti melancarkan GHB yang bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.

GHB dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, manakala anggota jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta bekas pemimpin kanan parti seperti Dr Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad dan Dr Siti Mariah mahmud.

Dilaporkan sebuah parti politik baharu di bawah kelolaan GHB akan dilancarkan secara rasmi pada 14 September depan.

Artikel Lain