suria

SPRM Sangkal Dakwaan Bocor Maklumat Siasatan 1MDB

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya membocorkan maklumat siasatan pasukan petugas khas berhubung dana 1MDB dan akaun bank isteri perdana menteri.

Menyangkal dakwaan yang dipaparkan di blog Malaysia Today, SPRM berkata, laporan bertajuk "Return of the Jedi: The Return Match for Najib" bertarikh 18 Julai dan "Plumber Wanted: to plug the leak in the Special Task Force" pada 20 Julai adalah "sama sekali tidak benar".

Suruhanjaya itu juga menjelaskan, bekas ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Tan Sri Rashpal Singh Jeswant Singh tidak melakukan sebarang kesalahan membocorkan maklumat kepada Sarawak Report seperti didakwa blog berkenaan.

Jelas SPRM lagi, Rashpal tidak mempunyai sebarang akses langsung kerana ketika ini beliau bukan anggota penasihat agensi antirasuah itu.

Tempoh perkhidmatan Rashpal berakhir pada 24 Februari lalu.

"Laporan Malaysia Today yang mendakwa Tan Sri Rashpal diketepikan kerana beberapa salah laku adalah tidak benar," Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob.

Pada Isnin, portal itu mendakwa Rashpal Singh membocorkan maklumat mengenai siasatan pasukan petugas khas terhadap laman sesawang Sarawak Report.

Rashpal juga didakwa menemui pengasas Sarawak Report dan pengarang, Clare Rewcastle-Brown di London minggu lalu dikatakan untuk membincangkan bagaimana untuk menyalurkan maklumat berkaitan Datin Seri Rosmah Mansor kepada laman web itu.

Laporan sama juga menyebut adanya 'orang dalam' pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB yang turut menyediakan maklumat kepada Sarawak Report dan The Edge.

"SPRM menegaskan sebarang maklumat berkaitan isteri perdana menteri boleh diserahkan kepada mana-mana pihak termasuk Sarawak Report adalah tidak benar dan ia bertentangan dasar SPRM.

"Sehubungan itu, SPRM menyangkal kenyataan yang disiarkan blog berkenaan," katanya.



Artikel Lain