suria

Mesej Kerajaan Sekat Semua Media Sosial Isnin Ini Palsu

Mesej palsu yang disebarkan menerusi media sosial.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan mesej berbaur amaran kepada pengguna bahawa kerajaan akan menyekat semua platform media sosial pada pagi Isnin adalah palsu.

Satu mesej yang tersebar menerusi media sosial memberi amaran kepada pengguna bahawa kerajaan akan menyekat laman sosial Facebook, WeChat, Whatsapp, Telegram dan Instagram bermula pukul 9.15 pagi Isnin.

"Mesej ini palsu. Sepanjang pengetahuan saya, mesej ini disebarkan pada Jumaat atau dua hari lepas.

"Tolong jangan sebarkan mesej palsu," kata Ketua Komunikasi Strategiknya, Sheikh Raffie Sheikh Abdul Rahman.

Beliau berkata mesej itu disebarkan susulan laporan bahawa aplikasi mesej Telegram mengalami gangguan berikutan serangan penafian perkhidmatan (DDoS) terhadap pelayannya pada Jumaat.

Namun, Sheikh berkata isu itu bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi merupakan masalah global.

Difahamkan pengguna Telegram tidak dapat menerima atau menghantar mesej sejak pukul 4 petang waktu Malaysia pada Jumaat.

Pembuat aplikasi tersebut pada Jumaat dalam twitnya berkata bahawa aplikasi itu berdepan serangan DDoS di India dan rantau Asia Tenggara.

"Serangan DDoS berterusan menyebabkan sambungan kepada pengguna kami di India dan Asia Tenggera terjejas. Kami sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ini," twit syarikat pembuat aplikasi itu.


media sosial, SKMM

Artikel Lain