suria

Restoran Makanan Segera, Kedai Makan 24 Jam Lubuk Kaki Ponteng Puasa

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Restoran makanan segera dan kedai makan 24 jam dikenal pasti menjadi 'lubuk' bagi segelintir umat Islam di ibu kota yang tidak berpuasa, kata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama jabatan itu Wan Jaafar Wan Ahmad berkata lima lokasi tumpuan di Kuala Lumpur dikesan menjadi pilihan 'kaki ponteng' iaitu di Jalan Semarak, Pusat Bandar Damansara, Bukit Bintang, Wangsa Maju dan Bandar Permaisuri, Cheras.

"Berdasarkan pemerhatian kami, mereka memilih untuk beli dan makan di restoran makanan segera dan kedai makan 24 jam kerana khidmat yang ditawarkan lebih cepat serta tiada yang berani mempersoalkan tindakan mereka.

"Bagaimanapun ada juga yang berani makan di gerai-gerai tepi jalan dengan selamba tanpa rasa segan. Mereka langsung tidak menghormati bulan Ramadan," katanya.

Menurut Wan Jaafar, seramai 28 individu dalam lingkungan 18 hingga 53 tahun ditahan kerana merokok, makan di khalayak ramai dan menjual makanan kepada umat Islam dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan bermula awal Ramadan sehingga Selasa lepas.

Beliau berkata jumlah itu meningkat berbanding 18 individu yang ditahan tahun lepas.

Wan Jaafar berkata kebanyakan mereka yang ditangkap memberi alasan sakit dan terpaksa mengambil ubat berjadual atau tidak sempat bersahur.

"Ada juga yang beri alasan bekerja sebagai buruh di tempat pembinaan, pemandu yang sedang bermusafir dan sakit gastrik.

"Bagaimanapun kita tidak mempersoalkan perkara itu, yang kami ambil tindakan kerana mereka tidak menghormati bulan suci ini dengan makan di tempat awam," katanya.

Beliau berkata bagi mereka yang menjual pula memberi alasan terpaksa menyediakan makanan atas permintaan pelanggan tetap dan terpaksa berniaga bagi mengelakkan punca pendapatan terjejas.

Ada antara mereka mengambil kesempatan buka gerai untuk jual kepada bukan Islam tetapi bila kita periksa kuantiti yang dimasak banyak seperti hari biasa," katanya.

Wan Jaafar berkata seramai 12 anggota penguat kuasa Jawi ditugaskan memantau sekitar ibu negara bagi membanteras kegiatan yang mencemar imej umat Islam.

Individu yang ditahan atas kesalahan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 15a dan b Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
ponteng puasa, restoran 24 jam

Artikel Lain