suria

Polis Tahan Pelacur Di Sebuah Rumah Di Taman Lip Sin

GEORGE TOWN: Taktik sindiket pelacuran yang menjadikan sebuah rumah sebagai tempat operasi mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa tidak berjaya selepas kediaman di Taman Lip Sin, di sini diserbu polis pada Jumaat.

Ketua Polis daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis menyerbu rumah jenis pangsapuri berkenaan kira-kira 4 petang Jumaat.

"Semasa serbuan itu terdapat lima wanita warga Thailand berusia 29 tahun hingga 37 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pelacur di rumah berkenaan.

"Polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai pelanggan kepada pelacur warga asing itu," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas enam keping kondom, tilam dan pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pelacuran.

Mior Faridalatrash berkata sindiket berkenaan dipercayai menggunakan rumah berkenaan untuk aktiviti pelacuran sejak beberapa bulan lepas.

Katanya siasatan awal dipercayai sindiket itu didalangi warga tempatan dan usaha mengesan ketua sindiket itu giat dijalankan.

Jelas beliau, lima wanita berkenaan yang turut menyalah guna pas lawatan sosial kini direman mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63.



sindiket pelacuran

Artikel Lain